esk exam, tp ari ni mmg xde mood langsung nk study~
huhu..so bila digodek-godek tenet tu, jumpa la artikel pasal jodoh
(ckp psl jodoh je trus mata kuyu jadi bulat, haha)
so selamat membaca :-)
Berikut adalah 10 petanda yang
menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1. Bersahaja
Kekasih kita itu
bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian,
cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan
tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak
kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita
dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja
dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika
tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang bersama
Walaupun kita
selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan
pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang,
gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Dia juga
merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa
sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun
malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima Kita Seadaanya
Apapun kisah silam
yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan
dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil
kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang.
Biarpun dia tahu
yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung.
Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah
silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi
pasangan hidup kita.
4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa
yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang
dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan.
Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran
bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan,
kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak
jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita.
Apabila dia jujur,
semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan
membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang
mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat
mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin
memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya?
Bagi mereka yang
berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari
dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia
kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain.
Satu lagi, kita
tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti
cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang
memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang
inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita
dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu
memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang
dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas
masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini
dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya
tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama.
Ini penting kerana
ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar
bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab
seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang
berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke
klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami
kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi
pendengar.
Dia selalu bersama
kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka,
dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam
percintaan. Kata orang, “lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula suami
isteri’.
Pepatah ini juga
sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup
ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai
menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang
sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang
sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan
keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak
terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan
senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia
bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita
daripada melawatnya.
Apabila kita dan
dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan
kita hidup bersamanya.
9. Kata hati
Dengarlah kata hati.
Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan
memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling
tahu perasaan masing-masing.
Kita dan dia juga
dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan
tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup
kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita?
Dengarlah kata hati
dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan
Tawakkal
Jodoh dan pertemuan
semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan
skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan
sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati.
Mimpi memang mainan
tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya
Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat
petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.
Jika tidak,
tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan
kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya
dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.
semoga bertemu jodoh yang dicari :-)
note: syg kamu ~
credit to, penpatah.blogspot.com